Sunday, 23 October 2011

beri dan ambil

kali ini apa yang ingin dikongsikan? Perkaraa ini boleh dikatakan di alami oleh semua golongan samada miskin atau kaya, tua atau muda dan pelajar atau penganggur. Perkara ini adalah tabiat suka berhutang. Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita mempunyai hutang dan sangat membebankan. Tetapi apa yang ingin diluahkan di sini ialah tabiat liat untuk membayarnya. Perkara ini yang ingin dikongsikan di sini. Bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sekadar luahan sahaja. 

Bila ingin meminjam, pemberi pinjam segera memberinya malah si peminjam pula berjanji akan membayarnya dalam satu tempoh yang telah disepakati bersama ( penghutang & pemberi hutang ). Namun realiti yang penulis nampak dan alami, peminjam masih lagi liat untuk membayarnya malah minta tempoh dilanjutkan masa. Ada pula yang hanya bayar separuh sahaja. Persoalannya, semasa meminta pinjam, tiada pula si pemberi pinjam membeuat sedemikian ( beri separuh & minta tangguh ). Sepatutnya si penerima hutang bersungguh-sungguh untuk mencari duit ganti untuk dibayar segera. Perkara ini penulis sendir mengalaminya. Kadang-kadang bukan banyakpun cuma sekadar RM10 saja, tapi didiamkan sahaja malah macam seperti tidak pernah meminjam. Kenapa pemberi perlu memgingatkannya kerana semasa meminjam, si peminjam tau pula memberi syarat tempoh untuk membayarnya. 

Pernah suatu ketika penulis memberi pinjam dalam kuantiti yang banyak ( beratus sahaja tapi bukanlah beribu ) dan dia berjanji untuk membayarnya dalam satu tempoh yang dia tetapkan sendiri. Bermakna sudah terjadinya akad antara pemberi dan penerima. Namun yang menyedihkan ialah, sering tak ingat untuk membayarnya. Ada yang diamkan sahaja. Sepatutnya beritahu kenapa tak boleh bayar lagi bukan diamkan diri saja. Adakah mendiamkan diri itu dapat menyelesaikan masalah? Seolah-olah mereka ini tidak bersalah. Penulis bukan nak membanggakan diri, tapi disiplin diri yang penulis buat ialah sekiranya meminjam, penulis akan memastikan waktu nak dipulangkan semula tu mestilah tepat. Sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku ( misalnya tidak dapat membayar pada tempoh tersebut ) penulis akan memaklumkan lbh awal & sekiranya mampu untuk membayar sebahagian sahaja daripada pinjaman yang dibuat, penulis akan memaklumkan kepada pemberi pinjam. Hal ini bagi megelakkan perselisihan faham antara dua pihak dan menjaga hati pihat tersebut.

Tetapi hakikat yang penulis dapat lihat pada hari ini ( situasi yang penulis nampak ) si peminjam lebih suka mendiamkan diri malah masih tidak mampu untuk membayarnya semula. Sikap ini mesti dibendung dengan segera. Baru-baru ni ada seorang kawan mengadu kepada penulis bahawa kawan yang meminjam enggan memulangkan semula duit yang dipinjamnya. Malah sudah melebihi daripada tempoh untuk membayarnya, Sadisnya, dia memaki dan mengugut kepada sahabat penulis. Sepatutnya perkara tersebut sahabat penulis yang lakukan bukan si peminjam. Ini salah dari semua sudut. Tabiat suka berhutang ini sepatutnya dielakkan sebaliknya buatlah perancangan kewangan wang betul supaya dapat megelakkan daripada berhutang. Golongan pelajar & yang baru bekerja adalah golongan yang sering menjadi masalah bebanan hutang ( pada pengamatan penulis ).

Penulis bukan nak tunjuk pandai, tapi ada beberapa perkara yang ingin dikongsikan bagi megelakkan daripada tabiat hutang yang kian menular ini. Tipulah sekiranya tidak pernah berhutang tetapi elakkan daripada hutang dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak menguntungkan. Penulis sendiripun berhutang seperti pinjaman PTPTN, pinjamana kereta, sewa rumah, sewa unifi,bil elektrik dan sebagainya. Tetapi itu adalah hutang yang kemestian setiap bulan yang mesti dilangsaikan.

pepatah ada mengatakan "ukurlah baju di badan sendiri". Ikutlah kemampuan kita dalam berbelanja. Penulis sendiri bukanlah seorang yang mempunyai imbuhan bulanan yang tinggi tetapi ikutlah kemampuan kita. 

Wednesday, 12 October 2011

Pengenalan.....

Awalnya, aku ni malas nak menaip & menulis, tapi bila terbinanya blog ni, aku cuba untuk menjadi seorang yang rajin untuk menaip. Walhal, aku lebih meminati membaca daripada menaip ini. Terciptanya blog ni adalah kerana merupakan salah satu latihan projek semesterku. Nak tak nak aku terpaksa juga untuk membinanya demi mendapatkan markah sebanyak 60% sebelum memasuki peperiksaan akhir. Akhirnya dengan bantuan beberapa orang individu, terhasillah blog aku ini. Ucapan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu & banyak meluangkan masa bersamaku.

Menurut penjelasan daripada pensyarahku, blog ini adalah gantian daripada diari yang biasa ditulis di dalam buku tertentu. Bezanya blog ini bukan lagi sekadar diari tapi lebih daripada itu dengan mengikut perkembangan teknologi yang lebih pesat. Lihat pada hari ini, berlambak dan bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, banyaknya blog-blog yang boleh kita dapati, ada yang berbentuk ilmiah, perkongsian data, gambar, video dan juga politik. Malangnya ada juga yang mengandungi unsur-unsur lucah.

Penulis berhasrat untuk mencatatkan di laman ini apa yang penulis lihat pada masyarakat setempat. Penulis bukanlah seorang ilmuan, Tetapi sekurang-kurangnya penulis dapat meluahkan apa yang di rasa, di lihat dan dikongsikan bersama. Penulis tidak suka berpolitik atau menceritakan keburukan orang, tetapi lebih suka menceritakan perihal masyarakat setempat samada perkara tersebut disedari mahupun tidak. Samada perkara tersebut penulis sendiri yang mengalaminya mahupun orang lain.

penulis tidak mahu cemarkan mana-mana individu dan mengaibkan seseorang di dalam blog ni, sebaliknya ingin meluahkan apa yang dapat dirasa. Selain itu hasil penulisanku selama ni, bolehlah dijadikan tatapan aku kelak, mungkin bila penulis dah dimamah usia, boleh membaca semula dan tersenyum sendiri membacanya. Apapun apa-apa yang dicatat di sini hanyalah luahan dari penulis dan hanyalah kisah benar yang penulis alami sahaja. Rekayasa tidak ada sama sekali.

Saturday, 21 May 2011

Beri Satu Percuma Tiga

Kali ini apa pula yang ingin aku kongsikan. Beri satu percuma tiga? Menarik bila mendengarnya, siapa yang tidak mahukan barang yang percuma? Lebih - lebih hanya beri satu dapat tiga.Kalau orang perempuan dengar ni, mesti tak senang duduk para suami. Dipaksanya segera untuk mendapatkannya kerana dibimbangi habis. Macam jual barang pula. Tapi sebenarnya bukan itu yang ingin aku kongsikan di sini. Tapi mengenai sikap ataupun tabiat kita yang memang lumrah dan sebati dalam diri kita.


 Maksud aku ialah tabiat kita yang suka "menuding jari pada orang lain". Kenapa ini berlaku? Ini bertujuan untuk menyembunyikan kesalahan diri. Untuk mengelakkan kesalahannya, maka dituding jari kepada individu lain. Belum dicampur lagi dengan "mereka cerita" pula. Inilah sikap yang ingin aku kongsikan bersama. Sikap ini memang tidak dapat lari daripada hidup kita.  Teringat pula aku pada lagu rakyat yang sangat popular suatu ketika dahulu : "bangau oh bangau"

bangau oh bangau,
mengapa engkau kurus,
macam mana aku tak kurus,
ikan tak timbul-timbul

ikan oh ikan,
mengapa tak timbul-timbul,
macam mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat,

rumput oh rumput,
mengapa panjang sangat,
macam mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku,

kerbau oh kerbau,
mengapa tak makan rumput,
macam mana aku nak makan,
perut aku sakit,

perut oh perut,
mengapa engkau sakit,
macam mana aku tak sakit,
makan nasi mentah,

nasi oh nasi,
mengapa engkau mentah,
macam mana aku tak mentah,
kayu api basah,

kayu oh kayu,
mengapa engkau basah,
macam mana aku tak basah,
hujan timpa aku,

hujan oh hujan,
mengapa kau timpa kayu,
macam mana aku tak timpa,
katak panggil aku,

katak oh katak,
mengapa kau panggil hujan,
macam mana aku tak panggil,
ular nak makan aku,

ular oh ular,
mengapa nak makan katak,
macam mana aku tak makan,
memang makanan aku


 



lagu rakyat ini walaupun nampak seperti jenaka, tetapi sebenarnya ia membawa message yang berguna pada kita. Jika dilihat pada setiap turutan rangkap lagu bermula daripada hujan sehinggalah kepada ular, apa yang dapat dilihat, semuanya saling salah - menyalahi antara satu sama lain. Masing - masing memberikan jawapan tersendiri bagi menyelamatkan diri. Asalnya aku hanya ambil enteng pasal lagu ini, tetapi apabila dihayati liriknya, maka barulah aku faham. 


Memang fitrah bagi sebahagian manusia yang tidak mahu mengaku kesalahan diri sendiri, sering mencari jalan untuk melepaskan diri dan mencampakkan kesalahannya itu kepada orang lain. Hal ini sangat tidak wajar sebenarnya. Senang cerita, ini adalah salah satu sifat mazmumah yang patut kita hindari. Sebagai satu contoh yang lain, " kentut ", tidak ada individu yang akan mengaku dia kentut, malah akan saling salah - menyalahi dan lebih dahsyat lagi, hanya kerana kentut sahaja, maka berlaku bertikam lidah dan pergaduhan. Bermula daripada benda yang kecil, kemudian menjadi bertambah besar hanya kerana tidak mengaku. Berdosakah kita sekiranya kita mengaku kesalahan kita? Atau adakah jika kita mengaku, kita akan diambil tindakan yang berat?


Teringat pula aku ketika sesi pembelajaran yang lepas, ada seorang pelajar lelaki darjah satu telah memberi ayat yang menggelikan hatiku. Ayatnya berbunyi, " ustaz, baju - baju saya dah kecillah, minggu depan mak saya nak beli yang baru" hahahaha, aku hanya mampu tersenyum. Ikutkan hati mahu sahaja aku ketawa terbahak - bahak. Akupun menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada dia. Sebenarnya baju itu tidak mengecil, tetapi tubuh kita yang semakin membesar, barulah pelajar tersebut faham dan mengerti. Cerita ini walaupun nampak seperti bersahaja saja, tetapi jika dihalusi, amat memberi kesan dan pengajaran. Baju pula yang dipersalahkan sedangkan badan yang makin membesar.


Selain itu, sekiranya kita didatangi dengan suatu berita buruk atau meragukan, janganlah kita terus menerima berita itu sepenuhnya, bahkan sebaiknya hendaknya kita selidiki dan siasat dahulu sebaiknya supaya tidak menjadi fitnah. Sekiranya kita memburukkan seorang yang kita tahu tentang keburukannya, maka ia dipanggil mengumpat, dan  sekiranya kita memburukkannya dengan berita yang meragukan tentangnya maka ia dipanggil fitnah. Ini bersesuaian dengan hadis nabi :


الفِتْنَةُ َأشَدُّ مِنَ القَتْلِ
Ertinya: "fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh"

 Ironinya, sebelum kita bertindak, mestilah kita fikirkan dahulu baik buruknya, selidikilah dahulu, ini bersesuain dengan firman Allah swt di dalam surah Al - hujurat ayat 6:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu"


Amaran Allah swt ini sangat jelas dan bernilai di dalam penghayatan kita seharian. Jika kita jadikan Syariat sebagai panduan hidup, Insya Allah kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Semoga cebisan ringkas ini dapat memberikan sedikit input yang berguna untuk kita sama - sama memperbetulkan kesilapan dan memperbaharui sikap kita supaya menjadi yang baik. Sebagai manusia, kita hendaklah saling tegur - menegur antara satu sama lain. Tanpa teguran, kita masih ditahap lama dan tidak tahu apakah kesilapan yang kita sudah lakukan.
 

Wednesday, 18 May 2011

Tandas Jadi Ukuran bagi hati seseorang?

Tandas jadi ukuran bagi hati seseorang? betul ke? bukan iman ke pengukurnya? Kelakarpun ada bila mendengarnya, tapi itulah perkara yang ingin diceritakan, sampai ketika ini aku masih teringat peristiwa tersebut dan aku praktikan pula kepada pelajar-pelajarku. Apa-apapun aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Allahyarham Haji Sulammuddin b Haji Mansor selaku pengetua dan pengasas utama Sek. Men. Agama Rakyat Maahad Al Islah (SMART MAI) Sg. Lampam, Teluk Intan Perak. Beliau merupakan seorang guru yang dedikasi, tidak pernah jemu mendidik, menghabiskaan masa bersama pelajar-pelajarnya, memberi nasihat yang berguna dan beliau sanggup menggadaikan tanah miliknya untuk
didirikan sebuah sekolah yang dibangunkan oleh rakyat. Natijahnya, dengan niat yang suci, mengharapkan keredhoaan Allah swt, SMART MAI telah bernafas selama 23tahun, satu jangga masa yang lama.

Setiap kali kelas pengajian beliau surau ke surau (waktu maghrib) beliau akan membawa tabung dan diletakkan pada satu tempat yang senang dilihat bagi menyumbangkan derma ikhlas untuk membangunkan frasana sekolah dan untuk pelajar-pelajarnya terutamanya anak - anak yatim. Beliau tidak segan apatah lagi malu untuk berbuat sedemikian. Betapa ikhlasnya hati beliau kerana sanggup menjinjing tabung ke mana sahaja pengajian yang beliau akan pergi. Aku mengkagumi keperibadiannya. Waima, seperti firman Allah yang bermaksud "setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati" beliau telah pergi ke alam berikutnya untuk mengadap ilahi. Tetapi, oleh kerana keberkatan dan kesungguhan beliau dalam mendidik, apabila bekas-bekas pelajar mendapat tahu pemergiannya, boleh dikatakan semuanya hadir, bukan itu sahaja, ahli korporat pun ada yang datang. Begitu ramai yang hadir sehingga sesak jalan utama ke Teluk Intan. Ketika menyembahyangkan jenazah Allahyarham, masjid penuh sehingga tiada ruang dan terpaksa solat di luar masjid.


Beliau pergi bukan bermakna habislah segala-galanya, tapi beliau pergi dengan meninggalkan ilmunya kepada pelajar-pelajarnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah....... Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah tentang tandas. Setiap minggu di asrama, akan mengadakan aktiviti membersihkan kawasan asrama dan sekolah. Aktiviti yang paling malas ialah membersihkan tandas. Biarlah cuci longkang daripada cuci tandas. sebut sahaja tandas, semua orang dapat membayangkan keadaan tandas. 


Dipendekkan cerita, aku terlibat dengan aktiviti membersihkan tandas. Adoi, malasnya aku nak bersihkan tandas, apatah lagi nk sental mangkuk tandas tersebut. Nak tak nak kena juga buat kerana akan diperhatikan oleh senior-senior yang diberikan tugas untuk mengawasi setiap aktiviti. Aku dan beberapa orang kawan-kawanku pun mengambil peralatan-peralatan yang diperlukan untuk membersihkan tandas. Berdekatan dengan tandas, ada masjid. Setiap hari Jumaat, masjid tersebut akan mengadakan majlis ilmu yang disampaikan oleh pengetua. Sedang asyik mencuci tandas, kami tidak perasan akan kehadiran pengetua Tiba-tiba salah seorang kawanku ternampak kelibat beliau. Kawanku memanggil kami untuk berjumpa dengan beliau. Pengetuaku sifatnya yang tidak pernah lekang atau kedekut dengan  memberi senyuman sambil memuji-muji kami. Beliau berpesan, selepas habis sesi majlis ilmu nanti, beliau ingin berjumpa kami di kantin sekolah.

Hati aku berdebar - debar kencang, memikirkan kenapa beliau ingin berjumpa kami. Aku hanya bersangka baik sahaja pada beliau, mungkin beliau ingin belanja kami sesuatu disebabkan kami membersihkan tandas. Kuliah pagi selesai. Doa khatam kedengaran begitu kuat yang dibacakan beramai - ramai menandakan habisnya kuliah pagi itu.Kami tunggu beliau dihadapan tandas. Kami berharap beliau tidak lupa pada janjinya. Kelibat beliau kelihatan dan kami terus menghampirinya.


Sifatnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu membuatkan aku berfikir bahawa ada berita dan habuan yang baik akan kami perolehi. Kami berjalan seiring menuju ke kantin. Beliau menyuruh kami duduk di meja kantin dan beliau sendiri yang pergi ke kantin dan mengambil kuih - muih. Ingatkan kuih - muih saja, tapi tidak lama selepas itu, ada pelajar yang menghantar beberapa bungkus nasi lemak dan mee goreng. Baiknya hati pengetuaku ini. 


Disuruhnya kami makan dan beliau menemani kami. Beliau terdiam seketika, kemudian memulakan bicaranya. Beliau mengatakan bahawa, mencuci tandas ini adalah dikalangan orang yang terpilih. Hanya hatinya bersih sahaja yang dapat melakukannya. Kami hanya menganggukannya tanda faham. Beliau menambah lagi, bagi beliau, untuk mengukur bersihnya hati seseorang, beliau akan gunakan kaedah dengan memcuci tandas. Terkedu dahi kami apabila mendengarnya. Beliau menjelaskan lagi supaya kami boleh faham maksudnya.


Beliau membaca hadis nabi : الطهارة من الإيمان, ertinya bersuci itu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang tidak menjaga kesucian diri, pakaian, tempat tinggal, tempat ibadah dan sebagainya, mereka tiada iman. hatinya penuh dengan kekotoran. Oleh demikian, menjaga kebersihan itu adalah penting bagi umah Islam. Kemudian seorang kawan daripada kawan kami menyampuk, jadi apa kaitannya dengan kami mencuci tandas ni? Pengetua memandangnya dan tersenyum panjang. Beliau menjawab dengan penuh hikmah, setiap kamu tadi mencuci tandas. Setiap seorang satu tandas. Hati kamu akan dinilai bila kamu mencuci tandas itu. Sekiranya kamu mencuci dengan sebaiknya dan mengharapkan tiada lagi kekotoran, ironinya, hati kamu bersih dan suci, tetapi jika sebaliknya berlaku iaitu kamu mencuci kerana mahu cepat siap, asalkan cuci, begitu jugalah menggambarkan sikap, hati dan keadaan kamu seperti mana. Oleh itu laksanakan tugasan itu dengan niat yang ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja dapat mencuci tandas dengan sebaiknya. Sekali lagi kami menganggukkan kepala tanda kami faham dan mengerti.

Sangat bermakna, ringkas dan padat. Sungguh terkesan dihati aku. betul juga apa yang diperkatakannya. Ingin segera menamatkan perbualan di kantin untuk menuju ke tandas untuk melihat sejauh mana bersihnya tandas yang aku cuci tadi. Setelah selesai di kantin, aku segera ke tandas yang aku cuci tadi. Berdebar juga aku, sebab mahu menilai sejauh mana bersihnya hati aku, bila aku buka pintu, aku beristigfar dalam hati, aku merasakan masih terdapat lagi kekotoran yang sepatutnya aku hilangkan. Maknanya hati aku masih tidak suci seperti yang diperkatakan tadi. Aku keluar tandas dan menuju ke asrama.

Aku baring seketika dan bermuhasabah, aku rasa tidak berpuas hati dengan tahap cucian aku tadi, aku rasa bersalah, ya, aku akui aku membersihkan tandas bukan ikhlas tapi kerana telah mendapat tugas tersebut dan mahukan siap dengan segera saja. Kata - kata pengetua tadi masih teriang - iang ditelingaku. Aku segera bangun dan bergegas ke tandas. Aku mengambil peralatan mencuci semula dan menyambung penyucian. Akhinya tandas aku bersih dan aku berpuas hati.


Setelah berpuas hati, aku berjalan pulang ke asrama. Aku mahu praktikan di dalam hidupku. Sesampai di asrama aku membuka almari dan kemas satu persatu rak di dalam almari aku, bermulda daripada pakaian, makanan ringan, barang peribadi dan lain - lain. Sekarang aku berasa puas bila melihat semuanya tersusun dan kemas. Benarlah kata pengetua. Terima kasih tidak terhingga aku ucapkan. Ilmu dan cara yang diberikannya memang berkesan. Aku berazam akan praktikkannya di dalam hidupku seharian dan akan mengjarkannya juga kepada pelajar pelajarku.


Semoga arwah dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan dalam golongan orang - orang yang beriman dan beramal soleh.


Amin......







Tuesday, 17 May 2011

Ceduk dan terus menceduk

Ceduk? perkataan apa ni? bila di cari di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak akan dijumpai, ini kerana perkataan ini adalah bahasa dialek daerah tertentu. Bagi aku perkataan (ceduk) ini tidak asing bagi aku. Ini kerana perkataan ini telah menjadi perkataan biasa disebut bagi tempat kelahiranku.Bukan perkataan (ceduk) ini yang ingin aku kongsikan, tapi aku mengambil ceduk ini sebagai tajuk utama. Apa sebenar yang ingin aku kongsikan di sini ialah budaya kita yang suka ceduk idea orang lain. Apa maksud ceduk ni? Mesti kalian pernah dengar, sebagai contoh " ate kome ceduk jela ayor tu" , ini telor loghat Negeri Perak. Maksud ceduk ini adalah " ambil ". 

Apa yang aku nak kongsikan di sini ialah ceduk idea orang lain. Mungkin ada yang tidak faham tapi jika " copy and paste ", " salin semula dari buku " berkemungkinan ramai yang faham. Senag cerita apa yang ingin aku sampaikan ialah : mengambil idea orang lain tanpa mengubah idea atau ayat tersebut. Baiklah, sebenarnya perkara ini kebanyakkan berlaku dikalangan pelajar di universiti-universiti. Budaya ceduk ini telah menjadi suatu kebiasaan. Sebagai contoh, pensyarah telah memberikan sesuatu tugasan kepada pelajar-pelajarnya, lalu pelajar-pelajarnya mencari bahan untuk membuat tugasan yang telah diberikan. Masalahnya ialah apabila mereka mendapatkan bahan untuk tugasan tersebut, kebanyakkan pelajar salin semula bahan-bahan yang telah dikumpulkan. Bagi mereka " janji tugasan aku siap dah la". 

Sebenarnya cara ini memang salah sama sekali. Kalau di dalam bahasa ilmiah, ini dipanggil "Plagiat", mengambil idea orang lain 100%. Budaya sepeti ini seharusnya dibendung dengan segera.Bagi mereka (pelajar) janji tugasan yang diberikan siap, sudahlah. Aku pun pernah alami situasi yang sama. Biar aku mengaku kesalahan aku, sebab aku suka belajar daripada kesilapan yang aku pernah buat supaya kesilapan itu tidak akan berulang. Tapi perkara ini berlaku pada semester satu semasa aku mengambil Diploma Pengajian & Tamadun Islam Usuluddin dan Dakwah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Biasalah semester pertama, mana tahu apa-apa lagi. Masih mentah lagi. Semuanya berubah apabila senior sebilik  menegur. Diapun menerangkan kepadaku cara-cara untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Dia tunjukkan tugasannya dan cara membuatnya. Aku mulai faham walaupun masih merangkak-rangkak. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Pepatah arab pun ad berbunyi sesiapa yang berusaha pasti akan dapat.

Bila difikirkan balik, ada hikmah atau mutiara yang sepatutnya dikutip. Apabila plagiat sering berlaku, bermakna ilmu itu tidak akan berkembang malah masih ditakuk lama. Sebaliknya ilmu yang sudah sedia ada itu mestilah dikembangkan lagi setelah dianalisis semula. Bila difirkan semula jika Imam Razali, Ibn Taimiyah, Ibn sina, Al Razi, Al Khuwarizmi dan lain-lain melakukan plagiat, ceduk apa sarjana-sarjana Islam yang dulu buat, nescaya ilmu itu tidak akan berkembang. Tetapi mereka mengembangkan lagi ilmu yang sedia ada dengan membuat penelitian, pengkajian yang makin mendalam dan mengikut perkembangan zaman. Ada satu kisah yang ingin aku kongsikan bersama. Anak murid Imam Hanafi ada bercanggah pendapat dengan Imam Hanafi. Ini kerana pendapat anak murid Imam Hanafi ialah fatwa mereka berbeza kerana mengikuti perkembangan zaman. Jadi, jika kita plagiat sahaja apa sahaja yang kita dapat, bermakna kita telah membuat suatu kesalahan yang besar.

Sepatutnya Ilmu itu harus dikembangkan supaya menjadi mutiara. Ilmu itu umpama mutiaram kitalah yang harus mengilap mutiara itu supaya bersinar dan dijaga dengan baik. Aku tergerak untuk berkongsi perkara ini supaya kita sama-sama dapat mengubah menjadi seorang penulis, pengkaji yang baik. Firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud " Allah swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu yang mengubah nasib dirinya".

Ironinya, janganlah kita suka mengambil hak milik orang lain di mana mereka bersusah payah menghasilkannya, sebaliknya kita perlu mengambil idea mereka itu dan mengembangkannya supaya ilmu itu akan terus berkembang dengan baik.