Wednesday, 18 May 2011

Tandas Jadi Ukuran bagi hati seseorang?

Tandas jadi ukuran bagi hati seseorang? betul ke? bukan iman ke pengukurnya? Kelakarpun ada bila mendengarnya, tapi itulah perkara yang ingin diceritakan, sampai ketika ini aku masih teringat peristiwa tersebut dan aku praktikan pula kepada pelajar-pelajarku. Apa-apapun aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Allahyarham Haji Sulammuddin b Haji Mansor selaku pengetua dan pengasas utama Sek. Men. Agama Rakyat Maahad Al Islah (SMART MAI) Sg. Lampam, Teluk Intan Perak. Beliau merupakan seorang guru yang dedikasi, tidak pernah jemu mendidik, menghabiskaan masa bersama pelajar-pelajarnya, memberi nasihat yang berguna dan beliau sanggup menggadaikan tanah miliknya untuk
didirikan sebuah sekolah yang dibangunkan oleh rakyat. Natijahnya, dengan niat yang suci, mengharapkan keredhoaan Allah swt, SMART MAI telah bernafas selama 23tahun, satu jangga masa yang lama.

Setiap kali kelas pengajian beliau surau ke surau (waktu maghrib) beliau akan membawa tabung dan diletakkan pada satu tempat yang senang dilihat bagi menyumbangkan derma ikhlas untuk membangunkan frasana sekolah dan untuk pelajar-pelajarnya terutamanya anak - anak yatim. Beliau tidak segan apatah lagi malu untuk berbuat sedemikian. Betapa ikhlasnya hati beliau kerana sanggup menjinjing tabung ke mana sahaja pengajian yang beliau akan pergi. Aku mengkagumi keperibadiannya. Waima, seperti firman Allah yang bermaksud "setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati" beliau telah pergi ke alam berikutnya untuk mengadap ilahi. Tetapi, oleh kerana keberkatan dan kesungguhan beliau dalam mendidik, apabila bekas-bekas pelajar mendapat tahu pemergiannya, boleh dikatakan semuanya hadir, bukan itu sahaja, ahli korporat pun ada yang datang. Begitu ramai yang hadir sehingga sesak jalan utama ke Teluk Intan. Ketika menyembahyangkan jenazah Allahyarham, masjid penuh sehingga tiada ruang dan terpaksa solat di luar masjid.


Beliau pergi bukan bermakna habislah segala-galanya, tapi beliau pergi dengan meninggalkan ilmunya kepada pelajar-pelajarnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah....... Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah tentang tandas. Setiap minggu di asrama, akan mengadakan aktiviti membersihkan kawasan asrama dan sekolah. Aktiviti yang paling malas ialah membersihkan tandas. Biarlah cuci longkang daripada cuci tandas. sebut sahaja tandas, semua orang dapat membayangkan keadaan tandas. 


Dipendekkan cerita, aku terlibat dengan aktiviti membersihkan tandas. Adoi, malasnya aku nak bersihkan tandas, apatah lagi nk sental mangkuk tandas tersebut. Nak tak nak kena juga buat kerana akan diperhatikan oleh senior-senior yang diberikan tugas untuk mengawasi setiap aktiviti. Aku dan beberapa orang kawan-kawanku pun mengambil peralatan-peralatan yang diperlukan untuk membersihkan tandas. Berdekatan dengan tandas, ada masjid. Setiap hari Jumaat, masjid tersebut akan mengadakan majlis ilmu yang disampaikan oleh pengetua. Sedang asyik mencuci tandas, kami tidak perasan akan kehadiran pengetua Tiba-tiba salah seorang kawanku ternampak kelibat beliau. Kawanku memanggil kami untuk berjumpa dengan beliau. Pengetuaku sifatnya yang tidak pernah lekang atau kedekut dengan  memberi senyuman sambil memuji-muji kami. Beliau berpesan, selepas habis sesi majlis ilmu nanti, beliau ingin berjumpa kami di kantin sekolah.

Hati aku berdebar - debar kencang, memikirkan kenapa beliau ingin berjumpa kami. Aku hanya bersangka baik sahaja pada beliau, mungkin beliau ingin belanja kami sesuatu disebabkan kami membersihkan tandas. Kuliah pagi selesai. Doa khatam kedengaran begitu kuat yang dibacakan beramai - ramai menandakan habisnya kuliah pagi itu.Kami tunggu beliau dihadapan tandas. Kami berharap beliau tidak lupa pada janjinya. Kelibat beliau kelihatan dan kami terus menghampirinya.


Sifatnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu membuatkan aku berfikir bahawa ada berita dan habuan yang baik akan kami perolehi. Kami berjalan seiring menuju ke kantin. Beliau menyuruh kami duduk di meja kantin dan beliau sendiri yang pergi ke kantin dan mengambil kuih - muih. Ingatkan kuih - muih saja, tapi tidak lama selepas itu, ada pelajar yang menghantar beberapa bungkus nasi lemak dan mee goreng. Baiknya hati pengetuaku ini. 


Disuruhnya kami makan dan beliau menemani kami. Beliau terdiam seketika, kemudian memulakan bicaranya. Beliau mengatakan bahawa, mencuci tandas ini adalah dikalangan orang yang terpilih. Hanya hatinya bersih sahaja yang dapat melakukannya. Kami hanya menganggukannya tanda faham. Beliau menambah lagi, bagi beliau, untuk mengukur bersihnya hati seseorang, beliau akan gunakan kaedah dengan memcuci tandas. Terkedu dahi kami apabila mendengarnya. Beliau menjelaskan lagi supaya kami boleh faham maksudnya.


Beliau membaca hadis nabi : الطهارة من الإيمان, ertinya bersuci itu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang tidak menjaga kesucian diri, pakaian, tempat tinggal, tempat ibadah dan sebagainya, mereka tiada iman. hatinya penuh dengan kekotoran. Oleh demikian, menjaga kebersihan itu adalah penting bagi umah Islam. Kemudian seorang kawan daripada kawan kami menyampuk, jadi apa kaitannya dengan kami mencuci tandas ni? Pengetua memandangnya dan tersenyum panjang. Beliau menjawab dengan penuh hikmah, setiap kamu tadi mencuci tandas. Setiap seorang satu tandas. Hati kamu akan dinilai bila kamu mencuci tandas itu. Sekiranya kamu mencuci dengan sebaiknya dan mengharapkan tiada lagi kekotoran, ironinya, hati kamu bersih dan suci, tetapi jika sebaliknya berlaku iaitu kamu mencuci kerana mahu cepat siap, asalkan cuci, begitu jugalah menggambarkan sikap, hati dan keadaan kamu seperti mana. Oleh itu laksanakan tugasan itu dengan niat yang ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja dapat mencuci tandas dengan sebaiknya. Sekali lagi kami menganggukkan kepala tanda kami faham dan mengerti.

Sangat bermakna, ringkas dan padat. Sungguh terkesan dihati aku. betul juga apa yang diperkatakannya. Ingin segera menamatkan perbualan di kantin untuk menuju ke tandas untuk melihat sejauh mana bersihnya tandas yang aku cuci tadi. Setelah selesai di kantin, aku segera ke tandas yang aku cuci tadi. Berdebar juga aku, sebab mahu menilai sejauh mana bersihnya hati aku, bila aku buka pintu, aku beristigfar dalam hati, aku merasakan masih terdapat lagi kekotoran yang sepatutnya aku hilangkan. Maknanya hati aku masih tidak suci seperti yang diperkatakan tadi. Aku keluar tandas dan menuju ke asrama.

Aku baring seketika dan bermuhasabah, aku rasa tidak berpuas hati dengan tahap cucian aku tadi, aku rasa bersalah, ya, aku akui aku membersihkan tandas bukan ikhlas tapi kerana telah mendapat tugas tersebut dan mahukan siap dengan segera saja. Kata - kata pengetua tadi masih teriang - iang ditelingaku. Aku segera bangun dan bergegas ke tandas. Aku mengambil peralatan mencuci semula dan menyambung penyucian. Akhinya tandas aku bersih dan aku berpuas hati.


Setelah berpuas hati, aku berjalan pulang ke asrama. Aku mahu praktikan di dalam hidupku. Sesampai di asrama aku membuka almari dan kemas satu persatu rak di dalam almari aku, bermulda daripada pakaian, makanan ringan, barang peribadi dan lain - lain. Sekarang aku berasa puas bila melihat semuanya tersusun dan kemas. Benarlah kata pengetua. Terima kasih tidak terhingga aku ucapkan. Ilmu dan cara yang diberikannya memang berkesan. Aku berazam akan praktikkannya di dalam hidupku seharian dan akan mengjarkannya juga kepada pelajar pelajarku.


Semoga arwah dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan dalam golongan orang - orang yang beriman dan beramal soleh.


Amin......







No comments:

Post a Comment